Antara sunnah utama puasa ialah bersahur. Makan di penghujung malam, sebelum menjelang waktu subuh bukan satu kebiasaan kebanyakan manusia. Namun, atas titah perintah agama muslim melakukannya menunaikan sunnah Nabi s.a.w dan padanya ada hikmah yang pelbagai untuk seseorang yang berpuasa. Ini termasuk memberikan kekuatan untuknya pada siang hari, juga melatihnya bangun di waktu sebelum fajar untuk beribadah kepada Allah. Ini disebut dalam al-Quran: (maksudnya)
“Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).Dalam hadis pula Nabi s.a.w menyebut:
“Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).Maka bersahur itu membawa kita bangun pada waktu doa dimustajabkan dan keampunan diberikan. Moga ia menjadi kebiasaan yang berterusan dalam hidup. Maka tidak hairan jika Nabi s.a.w berpesan:
“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).Keberkatan sesuatu yang sangat penting dalam hidup. Kehidupan ini jika hanya bergantung kepada nilai-nilai kebendaan semata akan menemui pelbagai kusut masainya. Keberkatan membawa cahaya kehidupan untuk insan mendapat limpah kurniaan Tuhan melebihi kadar kebendaan ataupun kehidupan materialistic yang dirasainya. Sahur antara punca lahirnya keberkatan. Bagaimana? Allah Maha Pemberi dengan cara yang dikehendakiNYA diluar dari andaian kebanyakan kita.
Bila Sahur?
Ada orang yang bersahur terlalu awal sedang waktu subuh masih
beberapa jam lagi. Ini tidak menepati amalan Nabi s.a.w. Baginda Nabi
s.a.w melewatkan bersahur sehingga tinggal baki beberapa minit sebelum
masuk waktu subuh. Kata Zaid bin Thabit:“Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).Waktu sahur pula berterusan sehingga masuk waktu Subuh. Selagi tidak masuk waktu Subuh seseorang masih boleh bersahur. Masuknya Subuh adalah waktu imsak (bermula puasa) yang sebenar, bukan beberapa minit sebelum itu. Ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda. Kata isteri baginda ‘Aishah r.aha:
“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).Dalam hadis Muslim pula, baginda bersabda:
“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.Hal ini selaras dengan kenyataan al-Quran: (maksudnya):
“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).
Dengan Apa Bersahur?
Tujuan sahur bukan menyibukkan diri dengan hidangan. Makanan sahur
memadai sesuatu yang memberikan kekuatan kepada orang yang akan berpuasa
esok harinya. Kesempatan sahur patut diambil untuk berdoa dan
beristighfar setelah makan dan minum apa yang dapat memberi kekuatan
pada besok hari. Sebab itu dalam hadis disebutkan tamar sebagai pilihan
sahur disebabkan kandungan tamar yang baik untuk tenaga orang yang
berpuasa. Sabda Nabi s.a.w:“Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).Jika tiada tamar, seseorang boleh sahaja bersahur dengan apa yang memberikan kekuatan untuk berpuasa pada hari tersebut. Mungkin juga ada orang yang tidak gemar tamar, ataupun tidak sesuai tamar untuk kesihatannya, maka agama itu luas untuk diamalkan. Apa yang tidak dapat diamalkan secara literal, boleh dihayati secara maksud ataupun kehendak (maqsad) syarak di sebalik sesuatu galakan ataupun perintah.