Friday, August 28, 2009

Penerimaan Van Jenazah

Assalamualaikum WBR...

Badan Khairat Kematian dan Kebajikan Islam atau “BKKKI’ Taman Desa Jaya, Johor Bahru telah ditubuhkan pada tahun 1997 dan didaftarkan dengan No. Pendaftaran 421.
Berkonsepkan pada asalnya membantu seluruh penduduk Islam Taman Desa Jaya dalam urusan mengumpul dana bagi tujuan bantuan kematian, tetapi pada tahun 2004 telah diperluaskan ke arah pengurusan jenazah penduduk Islam dengan segala kelengkapan daripada urusan mandi, mengkafan seterusnya hingga ke urusan perkuburan.
Disamping itu, pihak jawatankuasa telah menganjur usaha membantu penduduk miskin dan susah melalui program ’Jejak Fakir’ bulan Ramadhan sempena menyambut Hari Raya Aidil Fitri setiap tahun. Program Ibadah Qurban menjadi satu aktiviti rutin setiap tahun bagi mewujudkan pemuafakatan yang akrab yang melibatkan semua peringkat zon setempat dan agensi luar.Walaupun begitu, satu usaha sedang dijalankan oleh jawatankuasa bagi mewujudkan “Wakaf Van Jenazah” bagi menampung kos pembelian dan penyelenggaraan van jenazah bagi tujuan khariah setempat .
Badan Khairat kematian dan kebajikan Islam atau “BKKKI’ Taman Desa Jaya, Johor Bahru telah mengadakan Mesyuarat Agung kali ke 13 pada 8 April 2009 yang lalu. Satu usul jawatankuasa telah dibentangkan untuk meminta kebenaran dan sokongan ahli mengeluarkan sejumlah wang RM20,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Puluh Ribu sahaja) bagi membayar pendahuluan membeli sebuah kenderaan van jenazah Taman Desa Jaya Johor Bahru. Hasrat pembelian van tersebut telah dinyatakan pada tahun 2006 tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana kewangan belum cukup mantap dan kertas kerja belum disediakan.
Walau bagaimanapun, hasil usaha yang gigih dan jitu dari jawatankuasa, sebuah syarikat telah bersedia untuk mendermakan sebuah van jenazah dan satu majlis penyerahannya telah diadakan di Bangunan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad di Kuala Lumpur pada 21 Ogos 2009. Walaupun begitu, pihak pengurusan masih memerlukan dana bagi menampung pengendalian, insuran serta serbis kenderaan tersebut mengikut tempoh yang ditetapkan.
Dengan itu, satu cadangan rayuan kutipan menggunakan kupon akan diadakan mengikut kebenaran Jabatan Agama Islam Johor dalam tempoh yang dibenarkan. Kaedah atau sistem “WAKAF VAN JENAZAH” akan dilancarkan bagi memberi peluang kepada ahli dan khariah Islam Taman Desa Jaya, Johor Bahru dan taman sekitarnya untuk sama-sama berpeluang untuk beramal jariah seterusnya mendapat keredhaan Allah SWT mengikut kemampuan dan keikhlasan.

Yang DiPertua

Gambar Penerimaan Van Jenazah pada 21 Ogos 2009





No comments: