Tuesday, October 6, 2009

KERATAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA

Bank Rakyat sumbang van jenazah kepada Masjid Taman Desa Jaya


Zaharuddin Zainal Abidin (kanan) menyerahkan replika kunci van jenazah kepada Zainuddin Mohd. Alie untuk kegunaan kariah Masjid Taman Desa Jaya di Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 2 Okt. - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) semalam menyumbangkan sebuah van jenazah bagi kegunaan kira-kira 4,000 masyarakat Islam di sekitar Taman Desa Jaya di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Badan Khairat Kematian Taman Desa Jaya, Zainuddin Mohd. Alie berkata, dengan adanya van bernilai RM87,000 itu, ia akan memberi kemudahan kepada masyarakat di situ semasa berlaku kematian.

"Sebelum ini apabila ada kematian, khususnya yang melibatkan kes kematian di hospital, kita terpaksa meminjam van jenazah dari masjid-masjid berhampiran.

"Ini bermakna dengan adanya van berkenaan, bukan sahaja masyarakat Islam di Taman Desa Jaya yang menerima manfaat malah Taman Ehsan Jaya, Johor Jaya dan Desa Cemerlang turut menerima manfaat," katanya.

Van berkenaan diserahkan Ketua Bank Rakyat Wilayah Selatan, Zaharuddin Zainal Abidin kepada Zainuddin Mohd. Alie di pekarangan Masjid Jamek Taman Desa Jaya.

Sementara itu Zaharuddin berkata, sumbangan berkenaan merupakan salah satu tanggungjawab sosial pihaknya kepada masyarakat yang telah membantu Bank Rakyat selama ini.

"Sumbangan ini juga diharap membantu dan meringankan beban penduduk semasa menguruskan jenazah ahli kariah di sini," katanya.

No comments: