Wednesday, January 19, 2011

KISAH 3 LELAKI DISERET MASUK NERAKA


Salam,

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiYuVkDEbmCUQuX1eqhjEX1SBbxz_mwf7iSiEQtaGhrQJCrN-ZakeOcXEOfijTJDVS47ojiOm0hzyIJq5RfmwkT3t7PzFsTpTW3A_yNgHdmN25Z6_zyS_7R_rzJftXl3f9sIOEbl70QFAA/s1600/DSC00437.JPG
Gambar hiasan

Apabila membaca tiga kisah yang penulis paparkan kali ini, timbul kebimbangan kerja-kerja kebaikan yang dilakukan selama ini.

Bimbang ada unsur-unsur yang boleh membawa kepada ketidakikhlasan dalam melakukan kebaikan. Allah Maha Mengetahui, maka berserahlah kepadaNya menentukannya.

Sedar atau tidak sedar, ikhlas seseorang itu kadang-kadang boleh dilihat dengan mata kasar manusia. Contohnya, memberi sumbangan ikhlas tapi ditulis besar-besar nama pemberi sumbangan.

Kita boleh menegur pemberi sumbangan ini sebab boleh dilihat secara jelas tidak ikhlas. Jika nak tulis juga boleh tapi bukan namanya, tapi nama institusi atau persatuan yang diwakilinya.

Contohnya, jika Tenaga Nasional Berhad (TNB) nak bagi sumbangan. Tak perlulah tulis nama Pengurus TNB atas sumbangan , cukuplah tulis nama TNB sahaja (macam dalam gambar hiasan)

Berterima kasihlah jika ditegur kerana dilihat secara jelas tidak ikhlas. Namun , sudah ramai umat Islam yang tak buat kerja bagi sumbangan suruh tulis nama dia kecuali dia ada niat lain.

Apa yang paling ditakuti adalah tidak ikhlas itu manusia tidak nampak jadi tidak ditegur. Memang pada zahirnya manusia tidak nampak , tapi Allah Maha Mengetahui dan inilah yang berlaku dalam tiga kisah ini. Bacalah......

Dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Muslim ada menceritakan keadaan tiga orang lelaki mengenai amalannya yang diadili pada hari pembalasan kelak di hadapan Allah SWT.

Seorang Lelaki yang Mati Syahid

Dia telah dibawa ke muka pengadilan untuk diadili segala amalannya. Kemudian telah diperlihatkan kepadanya segala kenikmatan sebagai ganjaran di atas amalannya.
Dan sebelum itu, dia telah ditanya oleh Allah SWT tentang amalannya semasa di dunia dahulu.

“Apakah yang telah engkau lakukan semasa hayatmu di dunia?”

Lelaki itu menjawab, “Aku telah berperang demi Engkau ya Allah sehingga aku terbunuh.”

Lantas Allah berkata kepadanya, “Bohong! Engkau pergi berperang bukan kerana Aku tetapi supaya engkau disebut-sebut sebagai seorang pahlawan. Kini gelaran itu telah engkau perolehi.”

Kemudian Allah memerintahkan supaya dia diseret ke dalam neraka.

Seorang Lelaki Alim, Penuntut Ilmu dan Sentiasa Berdamping Dengan Al-Quran

Sepertimana lelaki pertama tadi, dia dibawa ke muka pengadilan untuk diadili segala amal perbuatannya semasa di dunia. Lalu Allah menampakkan nikmat ganjaran yang diperolehi atas segala amalannya. Tetapi sebelum itu, Allah menyoal dia tentang amalan yang dilakukannya,

“Apa yang telah kau lakukan semasa hayatmu di dunia?”

Lelaki itu menjawab, “Aku mempelajari berbagai-bagi ilmu dan mengajarkannya semula kepada orang lain serta aku sering membaca al-Quran kerana Engkau ya Allah..”

Lantas Allah berkata, “Dusta! Engkau belajar dan mengajar bukan kerana Aku, engkau membaca al-Quran pun bukan kerana Aku. Akan tetapi engkau belajar dan mengajar supaya dikatakan orang engkau seorang yang pintar. Kini sebutan itu telah engkau perolehi. Engkau rajin membaca al-Quran pun bukan kerana Aku, akan tetapi supaya dikata orang Engkau seorang Qari. Dan gelaran itu pun juga telah engkau perolehi.”

Lalu, Allah SWT memerintahkan lelaki tersebut agar ditempatkan di dalam neraka.

Seorang Lelaki Yang Dermawan

Seperti kedua-dua lelaki tadi, selepas diperlihatkan segala kenikmatan kepadanya maka Allah SWT bertanya akan amalannya semasa di dunia meskipun Allah Maha Mengetahui.

“Wahai Fulan! Apakah yang telah engkau lakukan semasa hayatmu di dunia?”

Lelaki itu menjawab, “Aku telah membelanjakan segala harta kurnia-Mu kepadaku ke jalan yang Engkau sukai.”

Maka Allah berkata kepadanya, “Dusta! Engkau membelanjakan hartamu supaya engkau dikatakan orang, engkau seorang yang dermawan. Kini engkau memperolehi gelaran tersebut!”

Lalu lelaki tersebut telah Allah SWT suruh seret ke dalam neraka.

TAMAT

Ketiga-tiga lelaki yang diceritakan di atas adalah seorang yang baik dipandangan manusia. Dan telah melakukan kerja yang mulia.

Namun mengapa Allah SWT masih melemparkan mereka ke dalam neraka?
Keikhlasan dalam setiap perbuatan.

Keikhlasan tidak boleh dipisahkan dengan segala kerja yang dilakukan. Tanpa keikhlasan, segala kerja yang dilakukan, pasti menjadi seperti debu yang berterbangan.cintaillahi

Wassalam

No comments: