Tuesday, June 18, 2013

KEAJAIBAN BESAR SUJUD DALAM SOLAT


Pernahkah kita terfikir setelah saban usia kita mendirikan solat berserta syarat rukunnya, apakah rukun solat yang paling disukai oleh Allah SWT. Dengan menyelami, memahami, menjiwai serta menghayati setiap detik ibadah atau solat yang dikerjakan barulah kita akan mendapat kemanisan dan faedah darinya. Barulah ibadah kita itu dapat mendinding dan mencegah diri kita dari dosa dan noda. Firman Allah SWT yang bermaksud:- 

” Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar” (Surah Al-Ankabut ayat:45) 

Segala rukun di dalam solat yang melibatkan qalbi (naluri), qauli (lisan) dan fi’li (perbuatan) mempunyai pengertian dan maksud yang amat mendalam sekali di sisi Allah SWT. Segala pergerakan di dalam solat sebenarnya sarat dengan hikmah dan pendidikan dari Allah SWT dan amalan atau rukun yang paling disukai oleh Allah ialah rukun sujud. 

Sujud adalah waktu di mana seorang hamba itu paling hampir dengan Penciptanya. Pergerakan sujud itu secara lahirnya telah menunjukkan “rasa menghina dirinya” seseorang hamba itu di depan Tuhannya di dalam keadaan menyerah diri, pasrah, berikrar dan mengaku bahawa 

“Ya Allah hanya Engkaulah Tuhan yang layak disembah, ditakuti, dicintai dan hanya pada-Mu sahajalah tempat berserah dan memohon pertolongan”. 

Seorang sahabat Nabi SAW iaitu Huzaifah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:- 

“Tiadalah keadaan seorang hamba yang paling disukai oleh Allah daripada Dia melihat hamba-Nya itu di dalam keadaan bersujud, dengan meletakkan mukanya di tanah ( sebagai tamsilan tunduk, pasrah dan rasa hina seorang hamba kepada Allah)”. (Hadis Riwayat Imam Tabrani). 
Cerita Sujud:

Semasa malaikat-malaikat disuruh sujud kepada Nabi Allah Adam semua malaikat sujud apabila mereka bangun mengangkat kepala didapati malaikat yang bernama Azazil tidak sujud maka Allah SWT menjadi murka dan melaknat ke atasnya jadilah ia Iblis dengan bertukar rupa. Rupanya seperti kera dan badannya seperti babi justeru para malaikat merasa kecut dan takut lantas mereka sujud sekali lagi kerana syukur tidak kena laknat oleh Allah SWT. 

1.      SUJUD PERTAMA TAAT (PERINTAH ALLAH)
2.      SUJUD KEDUA SYUKUR (HAMBA KEPADA ALLAH) 

Tatkala Nabi Muhammad SAW Israk dan Mikraj ketika sampai di langit yang ketiga para malaikat-malaikat di sana sememangnya sujud selama- lamanya tetapi dikehendaki waktu Nabi SAW sampai mestilah mengangkat kepala tanda hormat. 

Apabila Nabi SAW memberi salam kepada para malaikat, semua malaikat itu bangun dari sujud kerana menjawab salam dan berkenalan dengan melihat wajah Nabi Muhammad SAW kemudian mereka sujud semula. 

Telah bersabda Rasulullah SAW, Bumi keseluruhannya adalah masjid melainkan tempat perkuburan dan tempat mandi. 

“Telah dijadikan untuk kita bumi seluruhnya adalah masjid. Maka jangan anda sapu pasir pada tempat sujud kerana rahmat Allah berada di hadapan. Dan berdebu muka ku untuk Allah yang maha Mulia lagi maha Tinggi sebab pasir kerana itulah puncak ibadah kepada Allah Taala. Tidak dikira bersolat bagi mereka yang tidak sampai atau kena hidungnya ke bumi (tanah) seperti juga dahinya”.

Oleh kerana banyak hadis menyebut tentang bumi dan kaitannya dengan sujud maka para ulama bersepakat mengatakan sekurang-kurangnya mesti sekali seumur hidup solat dan sujud di atas bumi dengan tidak berlapik dan jika banyak kali adalah lebih baik. Maka dengan sebab itulah orang-orang yang bermazhab Syiah bersolat di atas bumi atau dengan membawa kemana-mana sapu tangan yang khas ada di atasnya tanah untuk lapik sujud. 

Firman Allah SWT yang bermaksud:- ” Sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat Kami ialah orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat Kami mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhan dan mereka tidak menyombongkan diri” (Surah As-Sajadah ayat 15).

Di dalam perlakuan sujud itu ada simbolik dan hikmah yang harus fahami dan hayati. Iaitu bersama terancap dan ratanya tujuh anggota badan kita dengan bumi, pergerakan yang sepenuh jiwa, sepenuh rasa hina dan mengharap kepada Allah SWT dan penyerahan secara total seorang hamba terhadap Penciptanya dalam menerima serta mematuhi segala perintah dan larangan dari-Nya. Jangan sampai berlaku, hanya di dalam solat sahaja kita sujud tetapi di dalam kehidupan seharian kita bersifat “jauh api dari panggang” didalam erti kata yang lain kita tidak tunduk, tidak taat dan tidak menyerah secara total kepada peraturan dan sistem Allah yang Maha Sempurna. 

Sayugia dilakukan setiap melakukan rukun sujud ketika solat sentiasalah membaharui ingatan kepada Allah SWT (Al-Khaliq). Manakala tunduk meletakkan dahi ketika sujud hendaklah merasakan bahawa ia sedang menghina diri kepada suatu Zat Allah Yang Maha Agung dan apabila ia merasa kehebatan Allah Yang Maha Agung maka ketika itu ia juga harus merasai dirinya itu amat kecil dan terlalu kerdil di hadapan Zat Yang Maha Agung. Sujud bererti seseorang itu telah meletakkan wajahnya ditempat yang paling rendah di atas tanah ini bermakna ia telah meletakkan seluruh dirinya di atas tanah. 

Dengan sujud itu bererti telah mengingatkan dirinya terhadap punca asal kejadian manusia itu dari tanah dan mengembalikan dirinya kepada tanah. Apabila ia telah sanggup menghantar dahinya dan juga dirinya ke tempat yang hina maka tidak mungkin ia akan bersikap sombong lagi terhadap Allah yang menciptakan dirinya dari tanah itu. 

Sesungguhnya asal kejadian manusia itu seperti yang dijelaskan di dalam Al-Quran adalah dijadikan dari tanah maka setiap kali seseorang itu sujud adalah bertujuan mengasuh hatinya bahawa ia kelak akan dikembalikan kepada tanah iaitu menemui kematian seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT. 

Dengan demikian bererti sujud itu juga mengasuh hati manusia bukan saja supaya mengingat akan asal kejadiannya tetapi juga akan dikembalikan ke tanah iaitu menemui ajal kematian. Maka setiap kali sujud sewajarnya seseorang itu sentiasa ia mengingati akan mati, apabila ia ingat akan mati maka terasa seolah-olah bahawa solatnya itu sebagai solat penghabisan kerana ia akan menghantarkan dirinya ke tanah. Ia merasakan bahawa setiap kali ia sujud seolah-olah ia tidak akan bangun lagi. Sedangkan kematian itu merupakan pintu bagi seseorang memasuki gerbang akhirat. 

Dalam keadaan demikian maka hati akan merasa gerun dan merasai kebesaran Allah dan ketika itulah ia membaharui lagi di dalam hatinya untuk mensucikan Zat Allah Yang Maha Tinggi disamping lidah tidak bertulang mengucapkan, “Subhana Rabbial- A’la wa-Bihamdih”. 

Sujud bukan sahaja mendekatkan kita dengan Allah SWT tetapi dari sudut perubatan pun ada hikmahnya. Antara hikmah sujud menurut keterangan perubatan ialah:- 

1.  Membetulkan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.

2. Membetulkan pundi peranakan yang jatuh.

3. Melegakan sakit hernia.

4. Mengurangkan sakit senggugut ketika haid.

5. Melegakan bahagian paru-paru dari ketegangan.

6. Mengurangkan kesakitan pada apendiks atau limpa.

7. Meringankan bahagian pelvis.

8. Menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut, punggung ketika akan sujud.

9.  Gerakan otot-otot ini menjadikannya lebih kuat dan elastik, secara automatik memastikan kelancaran darah.

10. Bagi wanita gerakan otot ini menjadikan buah dadanya lebih baik dan mudah berfungsi untuk menyusukan bayi.

11.  Gerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal .

12.  Mengurangkan kegemukan.

13.  Otak manusia (organ terpenting) menerima banyak bekalan darah dan oksigen.

14.  Kedudukan sujud paling baik untuk berehat dan mengimbang lingkungan bahagian belakang tubuh.

15.  Memberi dorongan untuk mudah tidur.

 Selain itu kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentaliti kita (terutama ketika sujud waktu solat Subuh).

Sunday, June 16, 2013

FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN KITA TEWAS

 Sembilan Faktor Tanda Iman Lemah

 Sahabat yang dirahmati Allah,

Iman seorang muslim adakala kuat dan adakalanya lemah. Ianya turun naik setiap masa bergantung pada kehidupan dan keadaan seseorang itu. Ketika seseorang  ditimpa dengan berbagai masaalah kehidupan dan diuji dengan berbagai musibah maka ketika ini biasanya iman akan menjadi lemah kerana timbul rasa gelisah dan keluh kesah.

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Iman itu naik dan turun, maka sentiasa perbaharui iman kamu".

Tetapi, kebanyakan daripada kita mentafsirkan hadis tersebut bahawa sekiranya berlaku kelemahan diri kita, kita mengatakan sememangnya iman itu ada masa naik dan ada masa turun. Sepatutnya kita merasakan bahawa sekiranya tahap iman kita rendah kita berusaha untuk meningkatkannya.

Tapi kita lupa hal terpenting yang harus kita ambil dari hadis itu, iaitu apakah tindakan selanjutnya apabila mendapati iman kita semakin turun, maka tidak seharusnya kita membiarkannya turun. Kita harus memperbaharuinya dan ini boleh dilakukan dengan banyak cara.

Sahabat yang dimuliakan,

Istilah futur adalah merujuk kepada kemerosotan atau kemalapan yang berlaku pada keimanan atau keislaman seseorang.

Futur adalah satu penyakit. Seseorang yang dihinggapi penyakit ini akan lemah dalam melaksanakan tanggungjawab yang di amanahkan oleh Allah S.W.T.

Terdapat 9 faktor jika wujud dalan diri seseorang sebenarnya dia sedang mengalami futur, ketika inilah perlu kita bertindak segera untuk meningkatkan semula iman kita ketahap yang biasa atau lebih tinggi lagi. Perkara-perkara tesebut adalah seperti berikut :

1. Malas beribadah.

Sering melewat-lewatkan waktu solat. Kadangkala sehingga terlepas waktunya tanpa disedari. Malas solat sunat , berzikir dan membaca al-Quran . Menghabiskan banyak masa untuk tidur, berbual kosong atau melayan hobi yang kurang manfaatnya.

Betapa besarnya dosa orang yang meninggalkan solat atau melalaikan solat hingga luput waktunya. Renungkan hadis Rasulullah S.A.W. di bawah yang menghalang perbuatan tersebut .

Saad bin Abi waqas bertanya Rasulullah S.A.W. mengenai orang yang melalaikan solat maka jawab baginda " Iaitu mengakhirkan waktu solatnya dari waktu asalnya hingga sampai waktu solat lain. Mereka telah mensia-siakan dan melewatkan waktu solatnya, maka mereka diancam dengan Neraka Wail".

2. Tidak ada perasaan takut mengenai kematian.

Apabila hati tidak langsung mengingati kematian ini bermakna iman sedang ditahap yang lemah. Oleh itu kita digalakkan menziarahi orang mati  dan menziarahi kubur sebagai ubat agar hati dapat mengambil pengajaran daripada kematian. Hati orang mukmin sentiasa mengingati kematian sebagai satu cara untuk membersihkan hatinya.

Daripada Abu Hurairah r.a , Rasulullah S.A.W.  bersabda yang bermaksud :

"Perbanyakkanlah olehmu mengingati sesuatu yang memutuskan segala kelazatan (mati)." (Hadis Riwayat Tirmizi)

3. Melakukan maksiat samaada kecil atau besar.

Lebih teruk lagi apabila maksiat sudah menjadi kebiasaan dan bergembira dengan maksiat.

Sabda Nabi S.A.W maksudnya : " Barang siapa di antaramu melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya (mencegah) dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak sanggup, maka dengan  lisannya (nasihat), dan jika tak sanggup juga, maka dengan hatinya (merasa tak senang dan tak setuju, tinggalkan !) dan itu adalah selemah-lemahnya Iman. "  (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis di atas jika seseorang itu tidak rasa bersalah dengan maksiat yang dilakukan dan gembira pula maka sebenarnya sedikit pun iman tidak ada didalam hatinya.

 4. Suka melihat atau menyaksikan maksiat.

Zina mata adalah mata suka melihat maksiat dilakukan oleh orang lain. Memerhatikan aurat wanita yang bukan mahram dan juga melihat filem-filem lucah atau gambar-gambar seksi adalah maksiat yang dibuat oleh mata, dari mata akan turun ke hati dan hati akan hilang kemanisan beribadah kepada Allah S.W.T.

5. Ukhwah menjadi longgar.

Sifat orang mukmin adalah sentiasa baik sangka kepada saudaranya yang lain. Dia cinta dan kasih pada saudaranya semata-mata kerana Allah. Dia datang berziarah adalah semata-mata kerana Allah dan bukan diatas sebab-sebab ada kepentingan duniawi kerana harta atau kerana hubungan keluarga.

Dari Muaz bin Jabal meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah S.A.W.  meriwayatkan hadis qudsi : Allah Azzawa Jalla berfirman yang bermaksud : " Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaan-Ku akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari Qiyamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Orang mukmin akan mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Jika perasaan kasih sayang dan ukhwah menjadi longgar ini petanda imannya sedang lemah.

6. Ghairah kepada dunia.

Sebuk dengan dunia hingga membuang masa dengan kerja-kerja yang tak berfaedah. Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)

Apabila seseorang sibuk dengan hal-hal dunia seperti hiburan yang melalaikan , hanya memikirkan nak besarkan rumah, perabut yang mahal-mahal, kereta mewah, untuk mengaut keuntungan dan bekerja siang malam , jika kesemua ini menjejaskan berhubungannya dengan Allah, dan membuat seseorang merasa jauh dari kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, sebenarnya dia sedang ghairah dan mabuk dengan dunia.

Firman Allah maksudnya :“Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).” (Surah At-Takaatsur ayat  6)

7. Berbangga dengan kemajuan duniawi.

Islam tidak menghalang kemajuan duniawi dengan bangunan yang mencakar langit, kemajuan sains dan teknologi. Tetapi Islam amat menitik beratkan nilai-nilai rohani dan jika nilai rohani dan akhlak yang mulia diabaikan dan lebih mengutamakan kemajuan duniawi maka ianya dilarang. Dibarat dan Jepun terlalu mengutamakan kemajuan tetapi mengabaikan nilai-nilai moral manusia akibatnya mereka menuju kepada kehancuran.

Qarun, kaum 'Ad, kaum Samud dan kaum Luth semua mereka maju dengan pembangunan material tetapi mereka engkar dengan perintah Allah S.W.T. yang di bawa oleh para Rasul maka mereka dibinasakan oleh Allah S.W.T.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (Surah at-Taubah ayat 24)

8. Lemah atau tidak bersedia dengan kerja-kerja amal Islam.

Jika timbul perasaan malas bekerja untuk amal Islam dan sanggup membiarkan kerosakkan masyarakat berlaku tanpa di jalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah maka ini adalah petanda futur sedang melanda seorang da'i atau  seorang pekerja Islam. Kerja-kerja amal makruf nahi mungkar perlu dijalankan tanda kita menyahut seruan Allah S.W.T.

9. Menangguh-nangguhkan kerja.

Apa sahaja kerja yang membawa kebaikan dan amal soleh tidak boleh ditangguh-tangguhkan.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

"Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia." (Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita tingkatkan iman kita kepada Allah S.W.T dengan melaksanakan semua suruhanNya dan meninggalkan semua larangan-Nya memperbanyakkan juga kalimah tauhid di dalam hati dengan keikhlasan. Jika salah satu sifat diatas wujud pada diri kita sebenarnya kita sedang futur atau lemah iman maka perlulah kita perbaiki segera. Peruntukkanlah masa kita untuk berjumpa orang-orang soleh untuk menimba ilmu pengetahuan dan tarbiyah. Perbanyakkanlah membaca al-Quran, berzikir dan solat tahajud supaya kita dapat perbaiki iman dan jiwa kita yang lemah menuju kepada kecintaan kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya Muhammad S.A.W.

Monday, June 3, 2013

KEADAAN SESEORANG KETIKA DALAM KUBOR

Rasulullah s.a.w bersabda: "Apabila si mati dikuburkan.., datanglah kepadanya dua Malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya disebut dengan nama "Munkar" dan yang satulagi disebut dengan nama "Nakir", (lalu keduanya mendudukan si mati itu setelah dikembalikan rohnya ke dalam jasadnya) kemudian mereka menyoalnya:"Apa yang pernah engkau katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?" (dan pada satu riwayat oleh Abu Daud: 

Mereka bertanya kepadanya: "Apa yang engkau pernah sembah?" Maka kalau Allah memberi hidayah pertunjuk kepadanya, ia akan menjawab dengan berkata: "Aku menyembah Allah!" Kemudian ia ditanya lagi: "Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?" (Dan pada satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga: Mereka menyoalnya dengan berkata: "Siapa Tuhanmu?" Ia menjawab: "Tuhanku ialah Allah!" Mereka bertanya lagi: "Apa agama mu?" Ia menjawab: "Agamaku ialah Islam!" Mereka bertanya lagi: "Siapa dia orang yang telah diutuskan dalam kalangan kamu)?" Maka kalau si mati seorang yang beriman, ia akan menjawab dengan berkata: "Orang itu (Muhammad s.a.w) ialah hamba Allah dan RasulNya, aku mengetahui serta meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu ialah hamba Allah dan RasulNya!" 

Mereka berkata kepadanya: "Kami sedia mengetahui bahawa engkau mengakui yang demikian"; (Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud bahawa Baginda s.a.w bersabda: "Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: "Sungguh benar hamba-Ku, maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Syurga, dan pakaikanlah dia pakaian dari Syurga, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Syurga". "Rasulullah s.a.w bersabda lagi: "Lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan keharumannya ); kemudian dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh hasta persegi, dan diberikan cahaya yang menerangi kuburnya; kemudian dikatakan kepadanya: "Tidurlah!" Lalu ia berkata: "Bolehkah aku balik kepada keluargaku supaya dapat aku ceritakan kebaikan halku?" 

Dua Malaikat itu berkata kepadanya: "Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan dari tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya; Demikianlah halnya sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu. Jika si mati itu seoarang munafik, ia menjawab pertanyaan Malaikat itu dengan katanya: "Aku dengar orang berkata demikian, maka aku pun turut berkata sama; aku tidak tahu benarkah atau tidak". Lalu dua Malaikat itu berkata: "Memang kami tahu engkau berkata demikian"; (dan menurut satu riwayat oleh Abu Daud: "Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: "Sesungguhnya orang itu berdusta maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Neraka, dan pakaikanlah dia dari Neraka, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Neraka". Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Lalu datang kepadanya sebahagian dari bahang Neraka dan udara panasnya) kemudian diperintahkan bumi supaya mengapitnya lalu bumi mengapitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya, maka tinggallah ia dalam azab itu terus menerus ke masa Allah bangkitkan dia dari kuburnya."