Rasulullah memulakan makan dengan menyebut 'bismillah ...'
Dari 'Aisyah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila
seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (yakni:
'Bismillah' ). Jika dia terlupa menyebut nama Allah pada awal (mula
makan), maka sebutlah 'Bismillahi awwalahu wa akhirahu' (Dengan nama
Allah yang memulai dan yang mengakhiri). " (Hadith Riwayat Abu Dawud dan atTirmidzi.)
Dari 'Amr bin Abu Salamah radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah
s.a.w. bersabda kepadaku: "Ucapkanlah Bismillah dan makanlah dengan
tangan kananmu serta makanlah dari makanan yang ada di dekatmu." (Muttafaq 'alaih)
Dari Umayyah bin Makhsyi as-Shahabi r.a., katanya:
"Rasulullah s.a.w. (pada suatu ketika) duduk di situ ada seorang lelaki
yang makan lalu tidak mengucapkan Bismillah, sehingga makanannya tidak
tertinggal melainkan sesuap saja. Setelah orang itu mengangkatkan
sesuatu yang tertinggal tadi di mulutnya, tiba-tiba dia mengucapkan:
Bismillahi awwalahu wa akhirahu." Kemudian Nabi s.a.w. ketawa lalu
bersabda: "Tidak henti-hentinya syaitan tadi makan bersama orang itu.
Tetapi setelah dia ingat untuk mengucapkan nama Allah (yakni setelah
membaca Bismillah), maka syaitan tadi memuntahkan seluruh makanan yang
telah ada dalam perutnya. (Riwayat Abu Dawud dan nasa'i)
Dari Aisyah radhiallahu'anha, katanya: "Rasulullah
s.a.w. (pada suatu ketika) hendak makan sesuatu makanan bersama enam
orang sahabat-sahabatnya. Lalu datanglah seorang A'rab (penghuni
pedalaman negeri Arab), kemudian makan makanan itu dalam dua kali suap
saja. Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Sesungguhnya saja andaikata
orang ini suka membaca Bismillah (sebelum makannya tadi) nescaya makanan
itu dapat mencukupi engkau semua pula (kerana adanya keberkahan dalam
makanan itu)." (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan dia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih).
Membaca Basmalah sebelum
makan insyaAllah boleh mengelakkan penyakit. Kerana bakteria dan racun
ada membuat perjanjian dengan Allah s.w.t, apabila Basmalah dibaca maka
bakteria dan racun akan musnah dari sumber makanan itu.
Baca doa sebelum makan
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْمَا رَزَقْتَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya : "Ya Allah berkatilah kami pada apa yang telah Engkau rezekikan kepada kami dan jauhkanlah kami dari azab neraka."
Gunakan tangan kanan (tangan kiri dilarang)
Dari Salamah bin
al-Akwa' r.a., seorang lelaki sedang makan dengan tangan kirinya
berhampiran dengan Rasulullah s.a.w. Maka Baginda berkata: "Makanlah
dengan tangan kananmu". Lelaki itu berkata: "Aku tak boleh". Baginda
menjawab, "Engkau tidak boleh!? Tidaklah yang menghalangnya kecuali
sifat bongkak!! Kemudian tidak dapat diangkat tangannya ke mulut."
(Hadith Riwayat Muslim)
Dari Jabir r.a. berkata,
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jangan engkau makan dengan (tangan)
kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan (tangan)
kirinya." (Hadith Riwayat Muslim)
Makan garam secubit sebelum makan
Mengikut cara Rasulullah
s.a.w, sebelum baginda makan, baginda s.a.w akan mengambil sedikit
garam menggunakan jari kecilnya, lalu Rasullah s.a.w akan menghisap
garam itu.
Kemudian barulah Rasulullah makan makanan tersebut. Mengapa?
Kerana kedua belah
tangan kita ada mengeluarkan 3 macam enzim, tetapi konsentrasi di tangan
kanan kurang sedikit dari yang kiri. Ini adalah kerana enzim yang ada
di tangan kanan itu merupakan enzim yang dapat menolong proses
penghadaman (digestion), ia merupakan proses pertama penghadaman.
Mengapa menghisap garam?
Kerana garam adalah
sumber mineral dari tanah yg diperlukan oleh badan kita. Dua cecah garam
dari jari kita itu adalah sama dengan satu liter air mineral. Kita
berasal dari tanah maka lumrahnya bahan yang asal dari bumi (tanah)
inilah yg paling berkhasiat untuk kita.
Kenapa garam? Selain
dari sebab ia adalah sumber mineral, garam juga adalah penawar yang
paling mujarab bagi keracunan. Mengikut Dr, di hospital-hospital, kaedah
rawatan mula-mula bagi keracunan adalah dengan memberi Sodium Chloride,
iaitu GARAM. Garam juga dapat menghalang sihir dan makhluk-makhluk
halus yang ingin mengganggu manusia.
Mula makan dari tepi (pinggir)
Dari Ibn Abbas r.a.,
Nabi s.a.w. bersabda: "Keberkatan terdapat di tengah-tengah makanan,
maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah"
(Hadith Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi)
Makan yang berhampiran.
Sabda Rasulullah s.a.w.: "Dan makanlah dari apa-apa yang ada di dekatmu." (Muttafaq 'alaih)
Dari Umar bin Abi
Salamah r.a. berkata, aku merupakan hamba di rumah Rasulullah s.a.w.,
dan pernah tanganku menjalar-jalar ke serata hidangan (ketika hendak
makan). Maka Rasulullah s.a.w berkata: "Wahai budak, ucapkan
'Bismillah', makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang hampir
denganmu." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Galakan guna tiga jari.
Dari Ka'ab bin Malik
r.a., "Aku melihat Rasulullah s.a.w. makan menggunakan tiga jari..(ibu
jari, jari telunjuk dan jari tengah)" (Hadith Riwayat Muslim)
Kunyah makanan banyak kali
Rasulullah akan
mengunyah sebanyak 40 kali untuk membiarkan makanan itu betul-betul
lumat agar perut kita senang memproses makanan itu.
Larangan mencela makanan dan sunat memuji makanan
Dari Abu Hurairah r.a.
berkata: "Tidak sekali-kali Rasulullah s.a.w mencela makanan. Jika
Baginda menyukainya, maka Baginda makan. Jika Baginda tidak
menggemarinya, maka Baginda tidak makan" (Hadith Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Dari Jabir r.a.
bahawasanya Nabi s.a.w. meminta lauk pauk kepada keluarganya, lalu
mereka berkata: "Tidak ada yang kita punyai melainkan cuka. Beliau
s.a.w. lalu memintanya dan mulailah beliau makan serta bersabda:
"Sebaik-baik lauk pauk ialah cuka, sebaik-baik Iauk pauk ialah cuka."
(Riwayat Muslim)
Makruh bersandar ketika makan
Dari Abu Juhaifah iaitu
Wahab bin Abdullah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Aku
tidak pernah makan sambil bersandar (muttaki')." (Hadith Riwayat
Bukhari)
Al-Khaththabi berkata:
Almuttaki' di sini ialah orang yang duduk sambil bersandar pada alas
sandaran yang diletakkan di bawahnya." Katanya: "Orang itu bukannya
berkehendak akan duduk di atas alas sandaran atau bantal-bantal seperti
kelakuan orang yang menghendaki untuk memperbanyakkan makanan, tetapi
dia duduk tegak lurus dan tidak bersandar, juga makannya itu secukupnya
belaka. Inilah yang diucapkan oleh al-Khaththabi.
Selain al-Khaththabi
mengisyaratkan bahawasanya muttaki' ialah orang yang miring duduknya
pada lambungnya yang sebelah. Wallahu a'lam.
Dari Anas r.a., katanya: "Saya melihat Rasulullah s.a.w. makan kurma sambil duduk berjongkok." (Hadith Riwayat Muslim)
Almuq'i atau duduk berjongkok itu ialah merapatkan kedua punggungnya ke bumi dan mendirikan kedua betisnya.
Maka kandungan dari
hadith larangan makan sambil bersandar di atas, adalah sunnah makan
sedikit dan tidak melampaui batas yang diperlukan, tawadhu' ketika makan
dan tidak boleh menyerupai orang kafir, serta dilarang makan sambil
bersandar.
Dari Anas r.a dia
berkata, "Aku pernah menyaksikan Rasulullah s.a.w duduk bertinggung
sambil makan kurma." (Hadith Riwayat Muslim)
Maka diperbolehkan makan sambil duduk bertinggung.
Kutip makanan yang terjatuh.
Dari Jabir r.a., Sabda
Rasulullah s.a.w., "Apabila jatuh sebahagian (kecil) makanan seorang
dari kamu, ambil dan buang bahagian yang terkena kotoran dan makanlah
ia, dan jangan tinggalkan ia untuk syaitan, dan jangan dia menyapu
tangannya dengan kain sehingga dia menjilat jarinya dahulu kerana dia
tidak mengetahui pada makanannya, bahagian mana yang terdapat
keberkatan" (Hadith Riwayat Muslim)
Jilat jari setelah selesai
Dari Ibn Abbas r.a.
berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila seorang daripada kamu
telah selesai makan makanan, maka jangan disapu jari-jari sehingga
dijilat (terlebih dahulu) atau menyuruh orang lain melakukannya" (Hadith
Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Ka'ab bin Malik
r.a., katanya: "Saya melihat Rasulullah s.a.w. makan dengan menggunakan
tiga jari. Kemudian setelah beliau selesai lalu menjilatinya." (Riwayat
Muslim)
Dari Jabir r.a.
bahawasanya Rasulullah s.a.w. menyuruh untuk menjilati jari-jari dan
piring dan beliau bersabda: "Sesungguhnya engkau semua tidak mengetahui
di makanan yang manakah terletaknya keberkahan itu." (Riwayat Muslim)
Doa selepas makan
Dari Abi Umamah r.a.,
"Adalah Nabi s.a.w. apabila selesai makan menyebut, 'Alhamdulillahi
katsiran toyyiban mubarakan fih, ghaira makfiyyin wa la muwaddi'in'. wa
la mustaghnan 'anhu rabbana' " (Hadith Riwayat Bukhari)
الْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ غَيْرَ مَكْفِيٍّ وَلاَ مُوَدَّعٍ وَلاَ مُسْتَغْنًى عَنْهُ رَبَّنَا
Maksudnya :
"Sebanyak-banyak pujian bagi Allah pujian yang elok lagi berkat, tiada
yang lebih baik, tempat berserah yang paling baik, yang paling kaya
daripadaNya iaitu Tuhan kami."
Dari Muad bin Anas r.a.
berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang selesai makan,
kemudian menyebut, 'Alhamdulillah- illazi ath'amani haaza, wa razaqanihi
min ghairi haulin minni wa la quwwatin', akan diampunkan dosa-dosanya
yang telah lalu." (Hadith Riwayat Tirmidzi)
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا الطَّعَامَ وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ
Maksudnya : "Segala puji
bagi Allah yang memberiku makan makanan ini dan memberi rezeki
daripadanya tanpa daya dan upaya dariku."
Juga boleh baca doa berikut
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَجَعَلَنَا مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ
Maksudnya : "Segala puji
bagi Allah Yang telah memberi makanan dan minuman kepada kami, dan
telah menjadikan kami tergolong dalam orang-orang Muslim."
Meramaikan orang untuk makan bersama
Dari Abu Hurairah r.a.,
katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Makanan untuk dua orang itu dapat
mencukupi tiga orang sedang makanan untuk tiga orang itu dapat
mencukupi empat orang." (Muttafaq 'alaih)
Dari Jabir r.a.,
katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Makanan untuk
seorang itu dapat mencukupi dua orang dan makanan dua orang itu dapat
mencukupi empat orang, sedang makanan empat orang itu dapat mencukupi
lapan orang." (Riwayat Muslim)
Galakan bercakap
Dalam al-Adzkar, Imam
Nawawi mengatakan, “Dianjurkan berbicara ketika makan. Berkenaan dengan
ini terdapat sebuah hadits yang dibawakan oleh Jabir r.a. sebagaimana
yang telah kami kemukakan dalam “Bab memuji makanan”. Imam Abu Hamid
al-Ghazali dalam kitab al-Ihya mengatakan bahawa termasuk etika makan
ialah membicarakan hal-hal yang baik sambil makan, membicarakan kisah
orang-orang yang shalih dalam makanan.” (al-Adzkar hal 602, edisi
terjemah cet. Sinar baru Algen Sindo)
Menurut al-Hafidz dan
Syeikhul Islam Ibn al-Qayyim rh, pendapat yang benar ialah Nabi s.a.w
bercakap dan berbual semasa makan. Dalam kitabnya alZaad (2/397), ada
kalanya Nabi bertanya apakah menu pada hari ini dan memuji menu tersebut
(Hadith Riwayat Muslim: 2052), ada kala Nabi s.a.w mengajar adab dan
susila makan kepada kaum keluarganya (Hadith Riwayat alBukhari: 5061)
dan ada ketika Nabi sentiasa menggalakkan tetamu beliau supaya menambah
lauk-pauk dan minuman (Hadith Riwayat alBukhari 6087). Adalah tidak
benar meja makan menjadi tempat yang kaku dan senyap sepi dari
perbualan.
No comments:
Post a Comment