Sebenarnya, banyak perkara dalam mengambil fakta agama
dibuat secara ikutan tanpa penelitian dan semakan yang pasti. Kita
sering mengikut apa yang orang lain sebut atau ungkapkan tanpa kita
memastikan ketepatannya. Malang sekali, bukan sahaja berlaku dalam
kalangan masyarakat awam, tetapi juga dalam kalangan mereka yang
terpelajar. Untuk menjawab soalan saudara, saya ingin sentuh beberapa
perkara berikut;
1. Bulan Muharram adalah bulan pertama
yang dipilih oleh Saidina ‘Umar bin al-Khattab untuk kiraan bulan bagi
tahun hijrah. Maksudnya, dua belas bulan dalam satu tahun, Saidina ‘Umar
al-Khattab r.a. membuat keputusan untuk memilih Muharram sebagai bulan
pertama bagi tahun Hijrah. Ini seperti bulan Januari bagi tahun masihi.
Maka, telah berlaku salahfaham sesetengah pihak lalu menganggap Nabi
s.a.w berhijrah dalam bulan Muharram. Itu andaian yang tidak tepat.
2. Dahulunya, orang Arab tidak mempunyai kiraan tahun. Mereka hanya
mempunyai kiraan bulan dengan nama bulan seperti yang digunakan oleh
umat Islam. Nama bulan-bulan hijrah kita hari ini diambil dari nama
bulan-bulan ‘Arab. Cumanya, Arab tidak mempunyai kiraan tahun seperti
mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun masihi mereka.
Di zaman Saidina Umar, umat Islam mencadangkan agar diwujudkan kiraan
tahun bagi kalender umat Islam. Pelbagai cadangan diberikan termasuk
dicadangkan tahun kelahiran Nabi s.a.w. untuk dijadikan tahun pertama
kiraan kalendar umat Islam Namun ditolak oleh Amirul al-Mukminin Umar
bin al-Khattab r.a. Beliau kemudiannya bersetuju tahun Nabi s.a.w
berhijrah dijadikan tahun pertama kiraan tahun dalam kalendar umat
Islam.
Kemudian timbul pula persoalan bulan manakah patut dijadikan bulan
pertama. Pelbagai cadangan diberikan, termasuk bulan Ramadan. Namun,
Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab r.a menolaknya kemudian memilih
bulan Muharram. Ini disebabkan bulan tersebut umat Islam baru sahaja
menyelesaikan ibadah haji. Bukan kerana bulan tersebut Nabi s.a.w
berhijrah.
3. Sejarahwan besar al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) menyebut dalam karya sejarahnya al-Bidayah wa al-Nihayah:
Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar: “Cadangan yang baik”. Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?”. Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada yang mencadangkan “Muharram kerana ia bulan yang orangramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama. (al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr).
Riwayat ini jelas menunjukkan pemilihan Muharram sebagai bulan
pertama dalam kalender Hijrah bukanlah kerana ia bulan yang Nabi s.a.w
berhijrah padanya. Ia hanya bulan pilihan yang dijadikan bulan pertama
bagi kalendar hijrah.
4. Menurut para pengkaji Sirah Nabi s.a.w, hijrah berlaku dalam Bulan
Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai
riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi s.a.w yang mendapat anugerah dan
pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum
karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi s.a.w
keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28
haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi rasul. Dari situ,
baginda bersama Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua
tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal baginda
dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib
(Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8
Rabiul Awwal, Nabi s.a.w sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama
empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas
solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan
Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta
catatan ahli sejarah dan hadis. (lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).
Gambar Hiasan – Gua Thur
5. Dengan ini, berdasarkan maklumat yang dinyatakan tadi, jelas bulan
muharram bukanlah bulan baginda Nabi s.a.w berhijrah, ataupun memulakan
hijrah. Kesimpulannya; baginda keluar dari rumah pada akhir bulan
Safar. Memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke
Madinah pada 12 Rabiul Awwal. Jika ada perbezaan pendapat dalam kalangan
sejarahwan, ia berkisar pada hari-hari yang disebutkan itu sahaja.
Adapun bulan, mereka bersetuju hijrah Nabi s.a.w pada Rabiul Awwal.
Dengan itu, kita sepatutnya tahu bahawa bulan Muharram adalah bulan
pertama dalam kiraan kalendar hijrah, bukan bulan hijrah Nabi s.a.w.
6. Penetapan kalendar hijrah yang dibuat oleh Amirul Mukminin Umar
bin al-Khattab r.a adalah langkah yang tepat bagi memenuhi keperluan
urusan pentadbiran dan kehidupan umat Islam. Walaupun idea itu bermula
dari cadangan meniru cara pengurusan bukan muslim, tetapi meniru bukan
muslim dalam perkara yang bukan ibadah dan pula dapat memberikan faedah
kepada umat Islam adalah sesuatu yang diizinkan, bahkan disuruh oleh
Islam. Langkah Saidina Umar r.a. itu telah membantu pengurusan dan
pentadbiran umat Islam sepanjang zaman. Maka, penetapan tarikh bagi
tahun hijrah bukanlah bagi mengujudkan satu upacara agama, tetapi untuk
urus tadbir umat.
7. Setelah kita jelas tentang latar penetapan tahun hijrah, iaitu ia
berlaku pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab r.a bukan pada zaman
Rasulullah s.a.w, maka sudah pastilah tiada apa-apa upacara ibadah
khusus –sama ada solat khusus, atau puasa khusus atau bacaan khusus-
yang Nabi s.a.w lakukan sempena tahun baru hijrah kerana kiraan tahun
baru hijrah belum bermula pada zaman baginda. Pada zaman Umar dan
khalifah-khalifah selepas Umar juga tiada sebarang upacara ibadah khusus
sempena kedatangan tahun baru hijrah. Sebaik-baik petunjuk dalam ibadah
ialah petunjuk Nabi s.a.w dan al-Khalafa al-Rasyidin.
8. Setiap hari, setiap waktu umur kita bertambah atau meningkat. Sama
ada memasuki tahun baru atau tidak, hayat kita tetap bertambah singkat
dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh untuk berazam ke arah yang
lebih baik, samada menjelang atau belum tahun yang baru. Itulah
kehidupan dan jiwa seorang muslim. Masa tidak selalu menunggu kita.
Kabaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu
tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik. Jangan menunggu tahun
baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah jalan hidup yang patut kita
fahami dan hayati. Itu sikap golongan soleh sepanjang zaman. Mereka
sentiasa memohon kebaikan dan sentiasa beristighfar kepada Allah.
9. Jika tahun baru hendak diingati atau dihayati, mungkin di sudut
kedatangan tahun baru boleh menjadi pemangkin semangat dan azam.
Membantu penilaian dan perancangan. Maka, ia akan menggalakkan kita
memuhasabah diri; apakah kejayaan amalan baik atau dosa yang telah kita
lalui tahun lalu? Juga, yang penting apakah perancangan dan azam
kebaikan bagi kalendar yang akan datang. Maka kita pun berazam ke arah
prestasi yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment