Cepatnya masa berlalu dan
hari ini sudah 6 Syawal, ramai sudah pulang ke bandar untuk bekerja,
Esok tamatlah sudah aku bercuti dan akan pulang ke Kota untuk mencari
rezeki untuk mengisi perut..hehe.. Apapun aku nak kongsi artikel sempena
bulan Syawal yang mulia ini iaitu Puasa Enam Hari di bulan Syawal iaitu
Fahdilat, Kelebihan dan Niat Puasa Enam.. Moga artikel ini memberi
sedikit Ilmu dan moga boleh diamalkan oleh kita semua...Selamat Berpuasa
Enam...
Oleh : Mufti Brunei
(Dengan
nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut
Baginda).
Bulan Ramadhan yang baru saja berlalu selain
banyak membentuk dan mendidik kita, memberi peluang pula bagi kita
merebut pahala berlipat ganda sekaligus meningkatkan keimanan serta
ketaqwaan.
Kini dengan tibanya bulan Syawal iaitu bulan
kembali kepada fitrah, boleh menjadi pengukur sejauh mana bulan Ramadhan
yang baru saja berlalu telah memberi kesan dalam jiwa kita.
Kalau
di bulan Ramadhan kita biasanya merebut peluang untuk mengerjakan
amalan-amalan sunat seperti sembahyang Tarawih, Witir, bertadarus atau
membaca al-Qur’an, bersedekah dan sebagainya, adakah di bulan-bulan
selepas Ramadhan kita akan meneruskan amalan tersebut?
Antara
amalan-amalan sunat yang menjadi rebutan para salihin di bulan Syawal
ini ialah amalan puasa sunat enam. Apakah dia puasa sunat enam itu?
Definisi Serta Fadhilat Puasa Enam
Puasa
enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan
Syawal. Ianya sunat dan lebih afdhal dikerjakan secara berturut-turut di
awal bulan Syawal iaitu bermula dari 2 haribulan Syawal, dan boleh juga
dikerjakan secara berselang-seli ataupun dikerjakan bukan pada awal
bulan Syawal.
Puasa sunat enam ini sangat besar fadhilat
serta ganjarannya, diriwayatkan daripada Abu Ayyub Al-Anshari
Radhiallahu ‘anhu, beliau telah berkata bahwasanya Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun.”
(Hadits Riwayat Imam Muslim)
Mengerjakan
puasa sunat sebanyak enam hari di bulan Syawal di samping mengerjakan
puasa fardhu di bulan Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang
tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan
sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadhan selama
29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa
enam di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan
berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun. Ini diperkuatkan lagi
dengan sebuah hadits riwayat Tsauban bahawa Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.”
(Hadits Riwayat Imam Al-Darimi)
Apa
yang dimaksudkan dengan penyamaan di sini adalah dari segi perolehan
pahala iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang
didapatinya dari puasa fardhu. Jadi, pahala mengerjakan puasa bulan
Ramadhan dan puasa enam adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa
fardhu sebanyak setahun.
Hukum Dan Kedudukan Orang Berpuasa Sunat Menghadiri Jemputan Rumah Terbuka
Amalan
berziarah atau berkunjung-kunjungan di Hari Raya Aidil-Fitri sudah
menjadi adat bagi kita. Tuan rumah sudah pasti menghidangkan berbagai
jenis juadah khususnya ketika mengadakan majlis rumah terbuka atau yang
lebih biasa disebut dengan "open house".
Bagi mereka yang
sedang berpuasa sunat enam, ini adalah satu dilema yang sukar dielakkan
di hari raya ini, apatah lagi jika tuan rumah itu mengkhususkan
jemputannya di waktu siang. Sehinggakan ada yang menjadikan alasan
berpuasa sunat itu untuk tidak menghadiri jemputan ataupun menjadikannya
alasan untuk tidak berpuasa enam.
Perlu diingat bahawa
berpuasa bukanlah tiket serta alasan untuk tidak memenuhi jemputan. Ibnu
Umar Radhiallahu ‘anhuma misalnya, tetap memenuhi jemputan walaupun
beliau sedang berpuasa. Dalam satu hadits riwayat Imam Muslim, Abu
Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah berkata bahwasanya Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan maka hendaklah dia memenuhinya. Jika dia sedang berpuasa maka doakanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak berpuasa maka hendaklah dia makan.”
(Hadits Riwayat Imam Muslim)
Orang
yang diundang menghadiri jemputan sedangkan dia berpuasa, maka tidaklah
diwajibkan ke atasnya untuk memakan makanan yang dihidangkan kepadanya
oleh tuan rumah. Jika puasa yang dikerjakannya itu adalah puasa
fardhu, misalnya puasa qadha Ramadhan atau puasa nazar maka adalah
haram baginya untuk berbuka. Cukuplah baginya sekadar menghadiri
jemputan tersebut dan disunatkan juga ke atasnya untuk mendoakan
keberkatan serta keampunan dan sebagainya ke atas tuan rumah dan para
hadirin.
Adapun jika sekiranya puasa yang dikerjakannya
itu adalah puasa sunat, maka adalah dibolehkan baginya untuk berbuka dan
tidak meneruskan puasa sunatnya itu bahkan adalah sunat baginya untuk
berbuka seandainya tuan rumah itu merasa tersinggung jika dia tidak
memakan makanan yang dihidangkannya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam pernah menyuruh orang yang sedang berpuasa sunat supaya berbuka
dalam majlis jamuan makan, Baginda bersabda:
Maksudnya: “
"Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu." Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: "Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.”
(Hadits Riwayat Imam al-Baihaqi)
Ini
sama halnya dengan tuan rumah yang menjemput ataupun didatangi oleh
tetamu padahal tuan rumah itu sedang berpuasa sunat, lalu tetamunya itu
berkeberatan untuk memakan makanan yang dihidangkan olehnya dan tidak
mahu memakannya kecuali jika tuan rumah yang sedang berpuasa itu turut
makan bersamanya – maka dalam hal ini, sebagai menghormati tetamu itu,
adalah lebih afdhal bagi tuan rumah itu untuk berbuka dan makan
bersama-sama tetamunya tadi kerana Ummu Hani’ Radhiallahu ‘anha sewaktu
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pergi berkunjung ke rumahnya,
Ummu Hani’ menghidangkan minuman kepada Baginda. Setelah minum, Baginda
memberikannya semula kepada Ummu Hani’, lalu Ummu Hani’ pun meminum
bakinya. Kemudian Ummu Hani’ pun berkata:
Maksudnya:
"Aku telah berdosa, maka mintalah keampunan untukku, Baginda bersabda: Apakah ia (dosamu itu)? Katanya: Aku ini berpuasa, dan aku berbuka. Baginda bersabda: Adakah puasa qadha yang engkau kerjakan itu? (Ummu Hani’) berkata: Bukan. Baginda bersabda: (Berbuka puasa sunat itu) tidak memberi mudharat kepadamu."
(Hadits Riwayat Imam at-Tirmidzi).
Akan
tetapi jika tuan rumah atau tetamu itu tidak tersinggung ataupun tidak
keberatan jika dia meneruskan puasanya, maka dalam hal ini adalah lebih
afdhal dan lebih utama baginya untuk terus berpuasa.
Jika
dia berbuka juga maka dia tidak akan beroleh pahala puasa yang telah
dilakukannya tadi. Berlainan halnya, jika dia berbuka kerana keuzuran
misalnya kerana ingin menemani tetamunya makan atau untuk menjaga hati
tuan rumah, maka puasanya tadi itu akan diberikan pahala sungguhpun dia
tidak dapat menyempurnakannya sepertimana yang disebutkan dalam kitab
Mughni al-Muhtaj.
Bagaimanapun, tidak meneruskan puasa
sunat tanpa keuzuran adalah makruh di sisi hukum syara‘ berdasarkan
zahir firman Allah Ta‘ala dalam Surah Muhammad ayat 33:
Tafsirnya:
“Dan janganlah kamu batalkan amalan kamu!”
(Surah Muhammad:33)
Hukum Menqadha Puasa Sunat
Orang
yang sedang berpuasa sunat adalah berkuasa ke atas dirinya samada ingin
meneruskan puasanya ataupun tidak. Ini berdasarkan sabda Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Ummu Hani‘
Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya:
“Orang yang sedang berpuasa sunat itu adalah raja bagi dirinya, jika dia mahu dia berpuasa dan jika dia mahu dia berbuka.”
(Hadits Riwayat Imam Ahmad)
Menurut
pendapat mazhab Imam as-Syafi‘e, orang yang tidak meneruskan puasa
sunat samada kerana keuzuran ataupun tidak, maka tidaklah wajib ke
atasnya menqadha puasanya itu bahkan hukumnya adalah sunat. Ini kerana
jika hukum menqadhanya adalah wajib, maka sudah pasti hukum tidak
meneruskannya (puasa sunat) adalah haram.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘ed al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya:
“Aku membuat makanan untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu Baginda dan sahabat-sahabat Baginda pun datang. Maka apabila makanan dihidangkan, seorang laki-laki daripada suatu kaum berkata: "Sesungguhnya aku sedang berpuasa." Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu." Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: "Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu."”
(Hadits Riwayat Imam al-Baihaqi)
Maka
ambillah peluang ini dengan sebaiknya kerana puasa enam ini berserta
kelebihan-kelebihannya hanya hadir setahun sekali. Jadi janganlah ia
dilepaskan begitu saja kerana agama Islam dengan penuh tolak ansur telah
memberikan kemudahan bagi kita untuk mengerjakan puasa enam itu bukan
dalam suasana hari raya.
Sumber: Pejabat Mufti Negeri, Brunei Darussalam
Hadith:
Daripada Abu Ayub r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda, Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun.
Huraian Hadith:
1. Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan kebaikan dan kebajikan secara berterusan, walaupun sedikit.
2. Orang yang berpuasa Ramadhan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun. Hal ini disebabkan puasa sunat satu hari bersamaan pahalanya dengan sepuluh hari. Manakala puasa Ramadhan bersamaan dengan sepuluh bulan, maka enam hari puasa sunat bersamaan dengan dua bulan, kemudian dicampurkan dengan sepuluh bulan jumlahnya menjadi setahun.
3. Seseorang yang hendak berpuasa sunat di bulan Syawal adalah lebih afdhal berturutan seperti puasa bulan Ramadhan tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal itu.
Daripada Abu Ayub r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda, Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun.
Huraian Hadith:
1. Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan kebaikan dan kebajikan secara berterusan, walaupun sedikit.
2. Orang yang berpuasa Ramadhan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun. Hal ini disebabkan puasa sunat satu hari bersamaan pahalanya dengan sepuluh hari. Manakala puasa Ramadhan bersamaan dengan sepuluh bulan, maka enam hari puasa sunat bersamaan dengan dua bulan, kemudian dicampurkan dengan sepuluh bulan jumlahnya menjadi setahun.
3. Seseorang yang hendak berpuasa sunat di bulan Syawal adalah lebih afdhal berturutan seperti puasa bulan Ramadhan tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal itu.
Sumber: Jakim
Niat puasa sunat 6 syawal & puasa ganti / qada'
Puasa qada adalah menggantikan puasa yang difardhukan (Ramadhan) sedangkan puasa enam merupakan puasa sunat, jadi keduanya tidak boleh digabungkan. (Begitu juga dengan puasa nazar, tidak boleh disekalikan) Walaupun ada yang mengatakan pelbagai pendapat tentang mana patut buat dulu antara qada dan sunat ini - namun pendapat umum ulama' mengatakan dibolehkan puasa sunat syawal dahulu baru puasa ganti kerana tempoh syawal adalah sebulan sahaja.Puasa ganti dibolehkan sebelum menjelang ramadhan akan datang, namun elakkan bertangguh .Puasa sunat enam syawal boleh dilakukan secara terpisah-pisah (6 hari selang) tetapi jika dilakukan secara berturutan ianya lebih afdhal.
Lafaz Niat puasa sunat enam syawal : “sahaja aku puasa sunat bulan syawal kerana Allah swt “.Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulullah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah ).
Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih. Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda.
Antara hikmat disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal ialah sebagai satu latihan kepada orang-orang Islam bahawa amal ibadat itu bukan terletak pada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan bahkan amalan itu perlu konsisten untuk sepanjang kehidupan manusia.
Ia juga sebagai satu cabaran kepada orang-orang Islam supaya tidak menjadikan Syawal itu bulan bergembira semata-mata dan jika puasa itu dilakukan seawal mungkin di permulaan Syawal, ini akan menjadikan seseorang manusia itu benar-benar ingin menyahut seruan dari Allah untuk terus beribadat secara istiqamah dan berpanjangan.
Puasa Enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.
-
Niat puasa ganti / puasa qada' dalam rumi :
نويت صوم غد عن قضاء فرض رمضان لله تعالى
Nawaitu sauma ghodin an’ qada'e fardhu ramadhona lillahi taala
*sebut qada' - e , macam sebut 'an adae' dalam niat puasa di bulan ramadhan .
*ramadona - dho adalah huruf dod - sebut d (dengan lidah menyentuh lelangit)
Maksud : Sahaja aku puasa esok hari kerana ganti fardhu Ramadhan kerana Allah Taala
Wallahualam : Ada baca satu artikel mengenai puasa ganti menyatakan "Jika anda berazam ingin melakukan qadha' puasa sebelum menjelang fajar, maka itulah yang dikatakan niat. Ini sudah memadai dan tidak perlu melakukan lafaz niat."
No comments:
Post a Comment